Keistimewaan pendidikan agama Islam dan pandangan pentadbir British terhadap sistem pendidikan di Tanah Melayu

Abstract
Majoriti pentadbir British berpegang dengan falsafah positivisme empirik logik iaitu fahaman yang mementingkan penggunaan akal sepenuhnya sebagai pendekatan utama bagi mendapatkan sesuatu fakta keilmuan dengan tepat berdasarkan kaedah penelitian yang teliti dan sistematik. Falsafah ini menolak pembuktian sesuatu fakta menggunakan sumber wahyu kerana dianggap tidak releven dalam pembuktian sejarah dan telah mewujudkan pandangan yang berat sebelah serta meragukan terhadap masyarakat Melayu di Tanah Melayu. Artikel ini menumpukan kepada analisa terhadap pandangan pentadbir British berkenaan sistem pendidikan di Tanah Melayu merangkumi pendidikan agama dan sekular, dan untuk mengetahui keistimewaan pendidikan agama Islam ke atas masyarakat Melayu. Penulis menggunakan kaedah pensejarahan, perbandingan dan analisis kandungan bagi menyiapkan kajian ini. Hasil kajian mendapati pentadbir British memperkecilkan sumbangan sistem pendidikan agama Islam di Tanah Melayu dan beranggapan kegagalan Tanah Melayu mencapai ketamadunan yang tinggi disebabkan berpegang kepada Islam yang dianggap tidak releven dengan perkembangan semasa. Justeru, bagi memperbaiki kelemahan tersebut perlaksanaan sistem pendidikan Barat dilihat sebagai langkah yang tepat bagi menerapkan fahaman sekularisme ke dalam pemikiran masyarakat Melayu di Tanah Melayu.