Abstract
Kajian secara korelasi ini bertujuan untuk mengenal pasti sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara kemahiran terarah kendiri dan kemahiran pemikiran sejarah. Seramai 865 orang murid tingkatan dua terlibat dalam kajian ini. Instrumen kajian ini merupakan soal selidik dan ujian yang disahkan dan mempunyai nilai kebolehpercayaan yang baik. Data kajian ini telah dianalisis secara statistik inferensi iaitu ujian Korelasi dan Regresi Pelbagai dengan menggunakan perisian IBM SPSS versi 24. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa terdapat hubungan linear positif yang tinggi secara signifikan antara kemahiran terarah kendiri dan kemahiran pemikiran sejarah secara keseluruhannya. Dari segi konstruknya pula, ketiga-tiga konstruk dalam kemahiran terarah kendiri iaitu pengurusan kendiri, keazaman untuk belajar dan kawalan kendiri dilaporkan mempunyai hubungan linear positif yang sederhana tinggi secara signifikan dengan kemahiran pemikiran sejarah. Tambahan pula, dapatan kajian ini juga telah melaporkan bahawa ketiga-tiga konstruk dalam kemahiran terarah kendiri didapati menyumbang sebanyak 29 varians terhadap peningkatan kemahiran pemikiran sejarah dalam kalangan murid. Implikasi kajian ini telah menyediakan sumber maklumat kepada guru-guru sejarah untuk memberi fokus kepada kemahiran abad ke-21 dan kemahiran berfikir yang merupakan antara hasrat dalam kurkulum KSSM untuk melahirkan murid yang dapat bersaing di peringkat global.