Pembangunan model penilaian Massive Open Online Courses (MOOC) untuk bahasa Arab di Institusi Pengajian Tinggi

Abstract
Platform Massive Open Online Courses (MOOC) merupakan salah satu platform pembelajaran dalam talian yang sedang popular digunakan di pelusuk dunia terutamanya dalam Institut Pengajian Tinggi. Ia telah dijadikan salah satu platform utama sebagai proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di IPT Malaysia ketika pandemik covid-19 yang telah menular di seluruh dunia sejak Disember 2019. Walaupun begitu, terdapat beberapa pensyarah menyuarakan kebimbangan mereka dalam melaksanakan penilaian dalam MOOC khususnya untuk pembelajaran bahasa Arab. Justeru itu, pembangunan model penilaian MOOC untuk bahasa Arab boleh dijadikan sebagai salah satu alternatif penyelesaian. Artikel ini bertujuan untuk merungkaikan permasalahan yang kompleks, menganalisis struktur dan elemen penting untuk diterapkan dalam model penilaian MOOC. Model ini dibangunkan berpandukan kepada kesepakatan pakar seramai tujuh orang. Interpretive Structural Modelling (ISM) diaplikasikan dalam pembangunan model ini. Enam langkah utama yang terlibat dalam pembangunan model adalah bermula dengan mengenal pasti elemen-elemen yang berkaitan, mewujudkan hubungan antara pemboleh ubah, membangunkan matriks struktur interaksi kendiri (SSIM), penjanaan model daripada pendekatan ISM, pembentangan model kajian dan langkah terakhir melibatkan persembahan serta pindaan model akhir kajian. Sebanyak tujuh elemen dikenal pasti oleh barisan pakar bagi pelaksanaan penilaian MOOC untuk bahasa Arab. Elemen yang menjadi keutamaan adalah elemen menentukan jenis pentaksiran (penilaian kendiri, rakan sebaya, penilaian sumatif, formatif) bagi mengukur prestasi pelajar dan di akhiri dengan elemen menentukan syarat pensijilan bagi pelajar menamatkan kursus.