Kesihatan Mental dan Motivasi Pelajar Semasa Pembelajaran Dalam Talian Sepanjang Pandemik Covid-19

Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti hubungan antara tahap kesihatan mental dan tahap motivasi dalam kalangan pelajar sarjana Fakulti Pendidikan, di sebuah universiti penyelidikan di Lembah Klang semasa pembelajaran dalam talian dijalankan sepanjang pandemik Covid-19. Kajian berbentuk kuantitatif ini menggunakan kaedah tinjauan deskriptif melalui soal selidik. Kaedah persampelan rawak bersistematik telah digunakan untuk mendapatkan 242 orang pelajar sarjana dari Fakulti Pendidikan, UKM sebagai sampel kajian. General Health Questionnaire (GHQ-12) digunakan bagi mengukur tahap kesihatan mental pelajar sementara Motivated Strategies for Learning Questionnaire (MSLQ) digunakan untuk mengukur tahap motivasi pelajar. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian mendapati bahawa pelajar sarjana mempunyai tahap kesihatan mental yang rendah (baik) dan tahap motivasi yang tinggi semasa mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang pandemik Covid-19. Hasil kajian turut menunjukkan hubungan yang signifikan dan positif antara kesihatan mental dan motivasi dalam kalangan pelajar sarjana semasa pembelajaran dalam talian sepanjang pandemik Covid-19. Kajian yang dijalankan ini diharap dapat memberi sumbangan kepada pelajar, pensyarah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam memahami kepentingan menjaga kesihatan mental yang baik semasa pandemik. Dapatan kajian ini memberi implikasi bahawa komunikasi yang lebih luas dan berkesan diperlukan untuk mengurangkan masalah kesihatan mental dan meningkatkan motivasi dalam kalangan pelajar.