Hubungan antara Tahap Penglibatan Guru Novis di Negeri Melaka dalam Pembelajaran Tidak Formal Melalui Media Sosial dengan Pengurusan Bilik Darjah dan Pengurusan Emosi

Abstract
Kajian tinjauan ini bertujuan untuk mengenal pasti hubungan antara tahap penglibatan guru novis dalam pembelajaran tidak formal melalui media sosial dengan tahap pengurusan bilik darjah dan tahap pengurusan emosi guru novis. Kajian ini dijalankan di 100 buah sekolah rendah dan sekolah menengah daripada tiga buah daerah di negeri Melaka iaitu daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin. Seramai 219 orang guru novis dari 100 buah sekolah rendah dan sekolah menengah di negeri Melaka telah dipilih sebagai responden bagi kajian ini. Kajian ini merupakan kajian kuantitatif dengan menggunakan kaedah tinjauan. Data kajian dikumpulkan menggunakan satu set soal selidik yang ditadbir secara atas talian menggunakan perisian ‘Google Form’. Instrumen soal selidik dalam kajian ini mengandungi empat bahagian yang mana Bahagian A mengandungi maklumat berkaitan demografi, bahagian B berkaitan tahap penglibatan guru novis dalam pembelajaran tidak formal melalui media sosial, bahagian C berkaitan pengurusan bilik darjah dan akhir sekali Bahagian D meliputi soalan-soalan berkaitan pengurusan emosi guru novis berdasarkan Model Kecerdasan Emosi Bar-On. Hasil analisis kajian menunjukkan bahawa tahap penglibatan guru novis dalam pembelajaran tidak formal melalui media sosial berada pada tahap yang tinggi. Begitu juga dengan tahap pengurusan bilik darjah dan tahap pengurusan emosi guru novis. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara tahap penglibatan guru novis dalam pembelajaran tidak formal melalui media sosial dengan tahap pengurusan bilik darjah dan pengurusan emosi guru novis. Selain itu, kajian ini turut membincangkan implikasi pembelajaran tidak formal melalui penggunaan media sosial terhadap tahap profesionalisme guru novis serta langkah-langkah yang sesuai bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran tidak formal melalui media sosial dalam kalangan guru novis.