Asas-asas hubungan kemasyarakatan antara agama dalam perspektif Islam dan Kristian

Abstract
Kepelbagaian agama adalah satu keunikan dalam masyarakat. Setiap negara mahukan keamanan dan keharmonian dalam kehidupan masyarakatnya, khususnya negara yang memiliki masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Keharmonian adalah salah satu faktor utama dalam kemajuan sesebuah negara. Namun, hubungan kemasyarakatan antara agama memerlukan satu asas yang jitu agar dapat menjadi panduan kepada semua lapisan masyarakat dalam membentuk hubungan sosial yang harmoni. Justeru, penjelasan berkaitan asas-asas hubungan kemasyarakatan dari sudut keagamaan diperlukan, agar dapat memberikan kefahaman yang lebih baik kepada setiap penganut agama masing-masing dan juga untuk memastikan wujudnya perpaduan dalam kehidupan masyarakat yang berbilang agama. Kajian ini merujuk kepada kajian-kajian lepas berkaitan konsep kemasyarakatan dan asas-asas hubungan kemasyarakatan antara agama menurut agama Islam dan Kristian serta faktor-faktor pengabaian asas-asas hubungan kemasyarakatan antara agama. Analisis kajian dilakukan untuk mengenal pasti asas-asas yang telah ditetapkan dalam agama Islam dan Kristian berkaitan hubungan kemasyarakatan antara agama berdasarkan kepada penelitian teks al-Quran dan Bible. Tema asas hubungan kemasyarakatan antara agama yang didapati hasil penemuan dan penjelasan daripada kedua-dua teks al-Quran dan Bible termasuklah berkenal-kenalan dan tolong menolong, hormat menghormati dan juga berbuat kebaikan. Seterusnya, melalui asas-asas ajaran agama ini, setiap agama dilihat memainkan peranan penting dalam menjaga hubungan kemasyarakatan antara agama. Kajian ini berbentuk kualitatif dan segala maklumat dan data diperolehi melalui kajian-kajian lepas dan juga penelitian teks al-Quran dan Bible. Maklumat dan data yang diperoleh dianalisis secara terperinci untuk mendapatkan kesahihan sumber. Asas-asas hubungan kemasyarakatan antara agama menurut teks agama perlu diketengahkan agar masyarakat dapat memahami bahawa agama Islam dan Kristian tidak menolak hubungan kemasyarakatan antara agama, namun mempunyai batas dan panduan tertentu yang perlu dipatuhi.