Abstract
Kepercayaan tidak rasional merupakan kepercayaan yang bersifat rigid dan terlalu ekstrem, tidak logik, tidak konsisten dengan dunia realiti, tidak boleh dibuktikan secara empirikal serta boleh menghalang seseorang individu ke arah pencapaian matlamat. Estim kendiri pula ialah proses perkembangan yang dialami oleh seseorang individu yang akan membawa kepada perubahan daripada orientasi luaran kepada penilaian dalaman. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan modul terapi Rasional Emotif Tingkah Laku (REBT) terhadap sistem kepercayaan dan estim kendiri dalam kalangan remaja. Sampel dalam kajian ini merupakan pelatih-pelatih dari Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi, Kuala Lumpur. Seramai 100 orang pelatih-pelatih yang terdiri daripada mereka yang berumur 15 hingga 20 tahun. Kesemua responden dipilih menggunakan persampelan rawak mudah dan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan rawatan (n=50) yang menerima terapi menggunakan modul REBT dan kumpulan kawalan (n=50) yang menerima terapi tanpa modul REBT. Analisis MANCOVA dijalankan digunakan bagi mengenal pasti perbezaan yang signifikan terhadap skor min kepercayaan tidak rasional dan estem kendiri antara dua kumpulan berkenaan. Berdasarkan hasil kajian yang diperoleh dapat dirumuskan bahawa terapi REBT berkesan diaplikasikan terhadap pelatih-pelatih di Sekolah Tunas Bakti.