Keberkesanan Think-Pair-Share Terhadap Motivasi dan Penglibatan Murid dalam Penguasaan Penulisan Bahasa Malaysia Sekolah SJK(C)

Abstract
Motivasi merupakan elemen penting dalam mendorong dan mempengaruhi cara seseorang untuk bertindak bagi mencapai sesuatu yang dimatlamatkan. Dalam perkembangan bahasa, aspek motivasi memainkan penting bagi mempengaruhi kesungguhan murid belajar sesuatu bahasa terutamanya bahasa kedua kerana sikap yang positif untuk mempelajari bahasa kedua terbentuk daripada motivasi yang tinggi. Namun, penguasaan mata pelajaran ini menjadi kekangan terutamanya murid bukan penutur natif kerana mereka kurang bermotivasi untuk meningkatkan kemahiran khususnya kemahiran penulisan dalam mata pelajaran ini. Justeru, kajian tindakan ini bertujuan melihat keberkesanan strategi think-pair-share, salah satu pembelajaran koperatif bagi meningkatkan motivasi dan penglibatan murid dalam penguasaan penulisan Bahasa Malaysia. Bagi mencapai objektif yang digariskan, pengkaji menggunakan reka bentuk kajian tindakan Kemmis dan Mc Taggart (1988) untuk mengumpul data. Sampel kajian terdiri daripada 20 orang murid Tahun 3 dari sebuah SJK(C) di Ipoh. Data dikumpulkan melalui ujian pra dan pasca, soal selidik serta borang pemerhatian. Data diperoleh telah dianalisis secara secara statistik deskriptif menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 26.0. Hasil kajian menunjukkan strategi ini berkesan dalam meningkatkan penguasaan penulisan murid bukan penutur natif dalam penulisan Bahasa Malaysia dengan peningkatan markah penulisan dalam ujian pra dan pasca. Hasil dapatan kajian turut membuktikan motivasi murid bukan penutur natif dalam penulisan selepas intervensi adalah tinggi (M=4.20, SD= 0.76) dan penglibatan murid dalam penulisan turut tinggi (M = 4.07 dan SD = 0.64). Hasil kajian ini membuktikan strategi think-pair-share yang bercirikan pembelajaran koperatif dapat meningkatkan motivasi dan penglibatan murid bukan penutur natif dalam penguasaan penulisan mata pelajaran Bahasa Malaysia.