Amalan Komunikasi Verbal Guru Bahasa Arab dan Hubungannya dengan Sikap Murid dalam Pengajaran Bahasa Arab di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)

Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap amalan Komunikasi Verbal (KV) guru Bahasa Arab dan hubungannya terhadap sikap murid dalam pengajaran Bahasa Arab di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). Kajian kuantitatif ini menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen. Seramai 538 orang murid tingkatan dua dari seluruh SMKA di Malaysia terlibat sebagai responden. Pemilihan sampel dibuat menggunakan kaedah pensampelan rawak berstrata mengikut zon. Analisis data yang digunakan adalah analisis deskriptif dan inferensi korelasi Pearson dan dilakukan dengan menggunakan perisian SPSS. Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap amalan KV guru Bahasa Arab berada pada tahap tinggi iaitu dengan skor min 4.13 dan sisihan piawai 0.5. Adapun hubungan antara amalan KV guru dan sikap murid menunjukkan terdapat hubungan korelasi positif dan signifikan antara pemboleh ubah yang diuji. Hubungan antara amalan KV guru dan sikap murid adalah positif (r = .596, p = <.05) pada tahap signifikan 0.01. Kajian ini menunjukkan bahawa sekiranya amalan KV guru tinggi dan kerap, maka sikap murid juga akan bertambah baik. Penemuan ini akan membantu pentadbir pendidikan, terutama guru Bahasa Arab, untuk meningkatkan tahap kecekapan KV mereka.