Matlamat Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) daripada perspektif guru Geografi KSSM

Abstract
Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) merupakan satu konsep pendidikan global yang berperanan untuk meningkatkan keupayaan dan kompetensi generasi muda sebagai warganegara global yang mampu merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Kerajaan Malaysia telah menerima dan menyatakan komitmen untuk bersama-sama berusaha menjayakan SDG menjelang tahun 2030. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga turut mempromosikan ESD dalam sistem pendidikan formal di Malaysia termasuk pendidikan sekolah menengah. Bagaimanapun, matlamat sebenar ESD diterapkan dalam pendidikan sekolah menengah di Malaysia masih belum dapat dipastikan lagi. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk meneliti matlamat ESD diterapkan dalam pendidikan geografi sekolah KSSM daripada perspektif guru-guru geografi di Malaysia. Pengkaji menggunakan tiga matlamat atau fungsi pendidikan yang dicadangkan oleh Gert Biesta iaitu kelayakan (qualification), sosialisasi dan subjektifikasi sebagai kerangka teoretikal yang akan menjadi panduan kepada pelaksanaan kajian ini. Kajian ini dijalankan menggunakan reka bentuk kajian kualitatif. Pengkaji menggunakan kaedah temu bual separa berstruktur bagi memperoleh data kajian. Sampel kajian terdiri daripada 11 orang guru geografi yang dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan daripada 11 buah sekolah menengah di Malaysia. Data kajian dianalisis menggunakan kaedah analisis tematik yang dilakukan secara manual. Dapatan kajian menunjukkan matlamat guru menerapkan konsep ESD dalam mata pelajaran geografi KSSM di Malaysia lebih dominan kepada matlamat kelayakan dan sosialisasi. Manakala matlamat penerapan ESD untuk subjektifikasi masih belum begitu menonjol dalam landskap pendidikan geografi di Malaysia.