Tahap Kepuasan Pembelajaran Matematik Atas Talian Semasa Pandemik COVID-19

Abstract
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan secara berperingkat iaitu bermula 18 Mac 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawasan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 (Ashley Tang 2020) dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi arahan PKP (Kementerian Kesihatan Malaysia 2020). Salah satu kandungan PKP adalah penutupan semua institusi pendidikan selaras dengan saranan daripada UNESCO (Kementerian Kesihatan Malaysia 2020). Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil inisiatif untuk menggantikan pembelajaran bersemuka kepada pembelajaran atas talian. Inisiatif ini dititikberatkan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana mereka sangat terkesan dengan perubahan kaedah pembelajaran secara mengejut. Kajian ini di laksanakan untuk mengenal pasti tahap kepuasan calon SPM 2020 terhadap pembelajaran matematik atas talian secara sycncronus yang dijalankan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagi mencapai objektif kajian, dua soal selidik sedia ada digunakan iaitu Student Satisfaction Scale (SSS) dan Community of inquiry (CoI). Hasil daripada kajian tinjauan, calon SPM 2020 di pusat peperiksaan SMK Seri Kundang mempunyai tahap kepuasan yang tinggi (min = 191.90, sp = 20.49) terhadap pembelajaran matematik secara atas talian. Di samping itu, ujian-t sampel bebas digunakan untuk membandingkan min skor kepuasan calon SPM 2020 di mana tiada perbezaan yang besar antara min tahap kepuasan pembelajaran matematik secara atas talian bagi calon kerajaan dengan calon persendirian. Manakala, ujian korelasi Pearson dilaksanakan dan mendapati bahawa terdapat hubungan yang positif antara tahap pengalaman pembelajaran matematik dalam talian (M = 67.03, SD = 7.57) dengan persekitaran pembelajaran matematik atas talian (M = 123.86, SD = 14.20).