Kaedah Fuzzy Delphi: Reka Bentuk Pembangunan Model Pedagogi Terbeza Berasaskan Elemen Proses Pengajaran Dalam Mata Pelajaran Tilawah Al-Quran

Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan konsensus pakar terhadap keperluan elemen utama dan turutan kedudukan (ranking) keutamaan bagi setiap item dalam reka bentuk pembangunan Model Pedagogi Terbeza berasaskan elemen proses pengajaran bagi mata pelajaran tilawah al-Quran. Dalam kajian ini, kaedah Fuzzy Delphi digunakan dengan menggunakan tujuh skala likert. Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk mereka bentuk Model Pedagogi Terbeza berasaskan elemen proses pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran tilawah al-Quran mengikut konsensus pakar. Oleh itu, pengkaji mendapatkan konsensus pakar seramai 16 orang pakar dari pelbagai bidang terutamanya bidang pedagogi dan tilawah al-Quran. Borang soal selidik kajian mengandungi 39 item yang melibatkan lima elemen utama iaitu (i) pengetahuan pedagogi kandungan, (ii) perancangan guru berasaskan Teori Kecerdasan Pelbagai dengan, (iii) keadilan kepada murid, (iv) pelaksanaan kaedah pengajaran dan (v) amalan guru dalam mengubah suai proses pengajaran dan pembelajaran. Data dianalisis dengan menggunakan penomboran segi tiga Fuzzy. Kedudukan (ranking) setiap item ditentukan dengan menggunakan Defuzzification Process. Dapatan kajian menunjukkan konsensus pakar terhadap semua item dalam elemen utama. Dapatan menunjukkan kesemua item diterima dan melepasi tiga syarat Fuzzy iaitu nilai threshold (d) tidak melebihi atau sama dengan 0.2, peratus kesepakatan pakar melebihi atau sama dengan 75% dan nilai Defuzzification (alpha cut) melebihi atau sama dengan 0.5. Model Pedagogi Terbeza berasaskan elemen proses pengajaran di harap dapat memberi idea baharu kepada sektor pendidikan khususnya guru Pendidikan Islam dalam mempelbagaikan metodologi pengajaran kepada murid yang pelbagai.