Abstract
Kajian ini meneroka pembinaan Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) untuk elemen memahami kronologi menggunakan model pemikiran sejarah. Model ini mengetengahkan proses kontekstualisasi dan pengesahan bukti. Dalam kajian ini, model pemikiran sejarah diintegrasikan dengan sumber sejarah dalam bentuk dokumen teks. Dua sumber sejarah berkaitan dengan tajuk perjuangan Mat Salleh menentang pendudukan British di Sabah pada abad ke-19 telah digunakan. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes kolektif. Empat belas orang pelajar dari dua buah sekolah menengah kebangsaan harian di Sabah, menjadi sampel kajian. Kaedah pengumpulan data kualitatif adalah melalui kaedah pemerhatian, temu bual kumpulan berfokus dan analisis dokumen. Didapati majoriti daripada 14 orang pelajar dapat membina elemen memahami kronologi. Elemen memahami kronologi dibina apabila para pelajar dapat menghubungkan persamaan perjuangan pemimpin tempatan di pelbagai tempat dan lokasi. Dapatan lain menunjukkan para pelajar boleh menyusun urutan masa, tarikh dan tahun peristiwa perjuangan Mat Salleh; serta mempelajari peristiwa sejarah tanpa hafalan tarikh dan tahun. Dapatan kajian menunjukkan model pemikiran sejarah dalam pembelajaran menggunakan sumber sejarah dapat membantu para pelajar membina KPS dengan elemen memahami kronologi.