Abstract
Pemahaman dalam proses pembacaan memerlukan strategi bagi menetapkan tujuan dan meningkatkan fokus pembacaan khususnya dalam perkembangan pembelajaran kendiri. Kajian ini bertujuan untuk meninjau tahap strategi metakognitif membaca teks dan hubungannya dengan jantina dan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar bahasa Arab, UKM. Kajian kuantitatif berbentuk tinjauan ini menggunakan soal selidik sebagai instrumen. Kajian ini melibatkan seramai 30 orang responden yang dipilih melalui persampelan rawak mudah. Penumpuan diberikan kepada responden yang telah mengikuti kursus bahasa Arab di Fakulti Pengajian Islam, UKM. Data yang diperolehi dianalisis secara deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan strategi metakognitif membaca teks berada pada tahap yang sederhana, secara terperinci strategi global berada pada tahap sederhana diikuti strategi sokongan dan strategi penyelesaian masalah juga digunakan secara sederhana dalam pembelajaran bahasa Arab. Namun begitu tidak terdapat perbezaan dan hubungan yang signifikan skor min strategi metakognitif membaca teks antara jantina dan pencapaian pelajar. Pengajaran dan pembelajaran yang menerapkan kesedaran strategi metakognitif dapat dipupuk dalam pengajaran guru dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Tenaga pendidik bahasa Arab dapat memanfaatkan hasil kajian untuk merancang pengajaran dan pembelajaran dengan memupuk kesedaran strategi metakognitif dalam proses pembelajaran teks Arab.