Hubungan antara Tahap Konsep Kendiri Akademik dan Tahap Penghargaan Kendiri dalam kalangan Pelajar-Atlet di UKM Bangi

Abstract
Pelajar-atlet yang mempunyai konsep kendiri yang baik dan positif adalah salah satu aset kepada negara bagi membantu melahirkan ramai golongan pelajar yang berkualiti. Tujuan kajian ini dijalankan bagi mengkaji tahap konsep kendiri akademik dan tahap penghargaan kendiri serta mengkaji perhubungannya antara pelajar-atlet lelaki dan perempuan. Kajian ini berbentuk kuantitatif dengan kaedah tinjauan. Seramai 146 orang pelajar-atlet di UKM Bangi yang terlibat dalam kajian ini. Soal selidik Academic Self-Concept dan Rosenberg Self-Esteem Scale yang diedarkan dalam talian untuk mengumpul data. Data kuantitatif kemudiannya dianalisis secara deskriptif, ujian-t satu sampel dan korelasi pearson yang dianalisis menggunakan perisian SPSS. Dapatan kajian menunjukkan tahap konsep kendiri akademik berada pada tahap yang sederhana dengan min skor 2.96 manakala tahap penghargaan kendiri juga berada pada tahap yang sederhana iaitu min skor 2.89. Seterusnya perbezaan jantina pelajar-atlet perempuan mencatatkan konsep kendiri akademik yang tinggi iaitu min skor 2.97 daripada pelajar-atlet lelaki min skor 2.95 manakala pelajar-atlet lelaki mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi iaitu min skor 2.92 berbanding pelajar-atlet perempuan min skor 2.84. Dapatan ini menjelaskan hubungan konsep kendiri akademik dan penghargaan kendiri adalah signifikan (r=0.728, p < 0.01). Hal ini dapat disimpulkan bahawa konsep kendiri akademik mempengaruhi penghargaan kendiri pelajar-atlet dan membuktikan bahawa pelajar-atlet perempuan tahu mengenai kemampuan mereka dalam bidang akademik manakala pelajar-atlet lelaki mempunyai perasaan yang positif dalam harga kendiri mereka. Implikasi kajian diharapkan dapat memberikan jurulatih, pensyarah, psikologis sukan dan pihak universiti untuk mengambil intervensi dan faktor-faktor yang mempengaruhi potensi pelajar-atlet.