Kesan Senario Politik Ke Atas Tingkah Laku dan Niat Pengundi PRN Johor 2022

Abstract
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis reaksi pengundi Johor sebelum Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Johor 2022. Senario politik Johor sekali lagi diuji apabila Barisan Nasional mengambil keputusan untuk membubarkan DUN Johor setelah mendapati bahawa dengan jumlah kerusi yang kecil sukar bagi mereka untuk melaksanakan dasar dan program yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Johor. Dalam masa yang sama PRN kali ini menguji undi 18 tahun yang didaftarkan secara automatik. Ini menjadi satu peluang dan cabaran kepada parti yang bertanding. Kajian ini bertujuan untuk melihat bagaimana senario politik semasa yang dilihat agak chaotic dengan pelbagai isu yang disebarkan dalam media sosial mempengaruhi niat dan tingkah laku pengundi. Beberapa kajian yang dijalankan sebelum ini tidak melihat elemen chaos sebagai salah satu faktor yang mampu mempengaruhi niat dan tingkah laku pengundi. Chaos berlaku dalam pelbagai bentuk dan cara sama ada berbentuk ekonomi, politik dan sosial. Dalam kajian ini senario politik semasa digunakan sebagai pemboleh ubah utama political chaos dalam melihat sejauh mana elemen ini akan menjadi penentu kepada tingkah laku pengundian. Kajian ini memilih kaedah tinjauan secara bersemuka dan atas talian dengan menggunakan persampelan rawak mudah ke atas pengundi berumur 18 hingga 40 tahun. Sebanyak 400 soal selidik diedarkan dan 384 dikembalikan. Data dianalisis menggunakan perisian IBM SPSS 26 dengan menggunakan analisa deskriptif dan perbezaan min untuk mengukur dan menganalisis keputusan. Hasil kajian mendapati bahawa senario politik mempunyai impak besar ke atas diri pengundi di mana media sosial menjadi sumber maklumat utama mereka walaupun mereka menyedari bahawa maklumat tersebut adalah sebahagian daripada strategi kempen parti yang bertanding. Dari segi niat mengundi faktor kestabilan politik mempengaruhi pengundi selain daripada faktor calon, manifesto, rakan sebaya, keluarga dan lain-lain.